Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang
positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut
adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif
seterusnya membentuk sikap yang positif:
Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh
syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita
itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk
rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke
lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan. Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik
sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat
balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam
hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri
kepada Firaun.
Sering berdamping dengan orang yang positif.
Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga.
Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini
kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah
yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan
menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan
meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari
ini dan esok!
Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu lakukan aktiviti fizikal seperti membaca, beriadah atau perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat.
Jangan terlalu serius.
Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi
cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan
Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita
tidak?
Kesimpulan.
Bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita
sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang
yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas
keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang
buruk itu telah benar-benar terjadi. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila
bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada,
Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Bak kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
sumber: Pahrol Mohd Juoi ~jzkk~
"Pengajaran dan persediaan buat diriku bila melangkah ke alam ini kelak...InsyaAllah.."

No comments:
Post a Comment